Friday, November 15, 2013

Mumtaz di akhirat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,


Keputusan peperiksaan UPSR telah diumumkan semalam. Tahniah kepada semua calon UPSR yang telah mengambil keputusan mereka dan redha dengan ketentuanNya. Tahniah kepada diri sendiri kerana selama ini berusaha datang ke sekolah untuk belajar kerana Allah. Tahniah kepada ibubapa yang tenang dan redha dengan keputusan peperiksaan anak-anak. Tahniah kepada cikgu yang berpenat lelah dan sabar mencurah ilmu kepada anak-anak murid tanpa jemu. Tahniah kepada semua yang terlibat! Marilah kita sama-sama bersangka baik dengan Allah. Jangan disalahkan anak-anak kerana tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Jangan disalahkan guru yang tanpa jemu mencurah ilmu kepada anak-anak kita tatkala kita pergi mencari rezeki. Marilah kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Marilah kita jalan terus!

Tertarik hati saya ingin berkongsi satu cerita UPSR yang meruntun jiwa saya sebagai seorang ibu. Perkongsian dari ahli usrah tentang anak saudaranya. Anak saudaranya adalah seorang pelajar yang cemerlang di sekolah dan menjadi harapan guru untuk dapat 5A. Dengan takdir dan ketentuan Allah, dia tidak mendapat 5A dalam UPSR. Di dalam PSRA juga dia tidak mendapat mumtaz. Dia langsung tidak menangis dengan keputusan peperiksaannya. Guru-guru pula yang datang kepada ibu bapanya dalam tangisan bersedih kerana anak didiknya tidak mendapat seperti yang diharapkan. Tetapi anak saudaranya yang membahasakan dirinya kakak, tidak putus-putus berkata :

"Tidak mengapa kakak tidak mendapat mumtaz di dunia ini. Kakak minta dengan Allah supaya Kakak dapat mumtaz di akhirat"

Masya Allah! Allahuakbar! Saya percaya tiada ibu yang tidak menangis dengan kata-katanya ini. Walaupun anak ini masih 12 tahun tetapi jiwanya sungguh BESAR untuk mendapat syurga Allah. Seorang anak 12 tahun hari ini, telah mengajar saya sesuatu yang sungguh bermakna. Allah adalah segala-galanya baginya. Tidak sedikit pun dia bersedih dengan hal dunia. Beruntung sungguh ibu bapa kepada anak ini. Sesungguhnya Kakak dan ibubapanya telah cemerlang. Tahniah! Kami di Bulatan Gembira mendoakan kakak akan berjaya suatu hari nanti dengan mendapat double mumtaz, mumtaz dunia dan mumtaz akhirat! Amin.

Sesungguhnya kejayaan yang sebenar adalah kejayaan mendapat syurga Allah. Kegagalan yang sebenar adalah masuk nerakaNya. Dunia ini penuh dengan kesenangan yang palsu.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurau senda, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan dan tanaman-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Di akhirat kelak ada azab yang keras bagi pendusta dan ampunan Allah bagi mereka yang beriman. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
(Surah Al Hadid : 20)


Dimanakah kita berakhir nanti!


Wednesday, November 13, 2013

INDAHNYA MENUTUP AURAT.



PERMULAAN...

Assalamualaikum kepada semua pembaca SIC..... Harap anda semua sihat sejahtera. Harap hari ini kita menjadi hamba Allah yang lebih baik daripada semalam.

Dalam entry ini saya ingin berkongsi serba sedikit tentang fesyen atau mungkin tiada kena mengena dengan fesyen untuk entry yang pertama ini. Tujuan saya menulis  ini adalah untuk berkongsi serba sedikit tentang fesyen-fesyen muslimah yg mengikut syarak, insyaAllah. Dalam entry yang pertama ini saya tidak mahu bercerita dengan lebih dalam tentang fesyen tetapi saya akan berkongsi serba sedikit sebab-sebab kita perlu menutup aurat.

Dahulu pernah saya tertanya-tanya kenapa kita semua perlu menutup aurat . Melalui pemerhatian saya ketika itu ada tiga kemunkinan kenapa kita perlu menutup aurat sama ada keluarga, budaya atau pun kerana Allah.tetapi setelah saya bertemu dengan ayat di dalam surah An-Nur ayat 31  menyatakan:

" dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pendangan mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendak lah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suaminya atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi sudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi sudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan islam  atau hamba-hamba mereka atau org gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kakiuntuk diketahui orang akan apa yang tersembunyidari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"

Selepas saya membaca ayat di atas saya tahu sebenarnya Allah yang perintahkan kita untuk menutup aurat, itu lah yang menjadi salah satu sebab  saya mula menutup aurat sehingga lah sekarang  walaupun tidak lah sesempurna mana tapi insyaAllah akan diperbaiki dari masa kesemasa.

Kenapa kita kena tutup aurat?
Jawapanya mudah sahaja, setiap wanita islam perlu tutup aurat kerana kita adalah wanita yang berharga, contohnya kalau kita perhatikan banyak barang-barang yang berharga atau mahal selalunya barang-barang itu akan di letakkn di dalam bekas kaca supaya tiada orang yg boleh pegang dan curi  dan kita cuma dapat melihat dari jauh,. Bergitu juga lah kita,


wanita islam  dimana Allah memerintahkan kita menutup aurat kerana kita ini berharga selain daripada itu orang lain tidak dapat sentuh kita kecuali orang-orang yang berhak menyentuhnya.

Benarkan kalau menutup aurat itu kita tidak boleh berfesyen?
Tidak semestinya kalau kita menutup aurat kita tak boleh berfesyen, bagi saya menutup aurat tidak pernah menghalang kita untuk berfesyen. banyak pakaian-pakaian yang terkini yang masih lagi kita boleh pakai tetapi yang penting kenala mengikut syarak yang telah di tetapkan didalam islam. Kini ramai wanita-wanita islam yang menutup aurat dengan sempurna tetapi masih lagi boleh berfesyen  malah mereka kelihatan cantik dan sedap mata memandang. Tapi kalau nak berfesyen kena lah dalam keadaan bersederhana ya.

kan cantik kalau semua menutup aurat seperti ini.


                Jom lah kita ramai-ramai berubah ke arah kebaikan berubah tu seronok tau, mungkin kita tidak boleh berubah secara drastik tapi kita boleh buat secara berperingkat-peringkat , jangan pernah takut untuk berubah ke arah kebaikan kerana berubah itu kan satu perkara yang baik, jangan risau Allah akan setiasa tolong kita dan Allah sentiasa bersama dengan kita, itu lah kelebihan kita sebagai umat Islam,beruntungkan kita jadi orang Islam.


Ini lah  serba sedikit perkongsian daripada saya , insyaAllah sekiranya ada kelapangan saya akan tulis entry yang lain pula ya. Maaf sekiranya penulisan saya ini ada menguris hati pembaca2 blog SIC insyaAllah sya akan perbaiki dari semasa ke semasa.

menutup aurat dengan sempurna tidak pernah menghalang kita untuk berfesyen.



                                                                                                                                Fashion lover.


" Usrah Sampai Syurga"

Tahajjud Call Tree

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,



Semasa Ramadhan 1434H yang lepas, Naqibah kami Kak Leena, telah mengadakan satu aktiviti usrah yang memerlukan kami bangun pada seawal pagi hari iaitu sepertiga malam. Aktiviti ini kami panggil Tahajjud Call Tree. Aktiviti secara berjemaah ini tidak memerlukan kami untuk bersama-sama di dalam satu tempat. Kami akan membuat panggilan telefon berdasarkan turutan yang telah dipersetujui. Kak Leena akan buat panggilan terlebih dahulu kepada Athirah Syafiza. Athirah kemudiannya akan menelefon Hajar. Hajar pula akan membuat panggilan telefon kepada Aida dan seterusnya. Sehinggalah orang yang terakhir iaitu Nesrin akan membuat panggilan kembali kepada Kak Leena. Jadi Kak Leena tahu bahawa semua orang yang terlibat telah bangun untuk bertahajjud. Memang seronok aktiviti Tahajjud Call Tree ini. Walau pun jarak jauh memisahkan kami, tetapi kami rasakan kami bersolat sunat tahajjud bersama-sama. Masya Allah, tak dapat digambarkan perasaan itu. Bermula pada saat itu, setiap hari kami berazam untuk berusaha untuk istiqamah dalam mendirikan solat sunat tahajjud.

Seringkali pada setiap perjumpaan usrah, Kak Leena akan menekankan kepentingan mendirikan Solat Tahajjud ini. Sentiasa terngiang-ngiang kata-kata Kak Leena, bangunlah adik-adik bersolat sunat tahajjud setiap hari. Bangunlah! Sesungguhnya solat sunat tahajjud itu sangat indah. Solat sunat tahajjud itu akan menjadikan kita ketagih untuk mendirikannya berulang kali, setiap hari. Bayangkan hanya diri kita dan Allah sahaja ketika itu, tiada orang lain, hanya Allah dan kita. Mohonlah ampun, mengadulah tentang apa sahaja yang terbuku di hati kita, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

 Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”  (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)


Jom kita mulakan solat tahajjud sekarang. Jangan berlengah! Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!

Nota : Kami akan kongsikan tentang tip-tip dan cara-cara mendirikan solat tahajjud dan doa-doa yang berkaitan dalam entri siri tahajjud yang seterusnya.



Monday, November 11, 2013

Ukhwah Menuju Jannah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,

Dari Anas r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu mencintai saudara kamu sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri. (HR Bukhari)

Kami berkumpul pada hari Ahad yang sungguh indah Oktober yang lepas untuk satu sesi perkenalan yang unik sekali. Sesi berkenal-kenalan kami melibatkan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan oleh pihak AJK. Kumpulan-kumpulan usrah di bawah payung NGO MIZAN (Muslimah Interest Zone and Networking) bertemu buat pertama kali  di Taman Tasik Shah Alam.

Potluck :: Senamrobik :: Taaruf :: Sukaneka

Setiap daripada kami perlu membawa hadiah untuk sesi Tahadu Tahabbu. Masya Allah, seronoknya dapat hadiah! Dan tentunya yang paling seronok sekali adalah pemberi hadiah itu sendiri. Bahagia terasa si pemberi melihat si penerima gembira mendapat hadiahnya. Sesi seperti ini boleh juga kita aplikasikan di kalangan keluarga besar kita contohnya adik-beradik, sepupu sepapat dan pakcik makcik untuk mengeratkan lagi silahturrahim.

Sesi "Tahadu Tahabbu"
Salinglah memberi hadiah, nescaya kalian akan saling berkasih sayang. (HR Bukhari) 

Naqibah kesayangan, Kak Leena melancarkan Mutiara Minda yang dicetak di atas art cards yang berkualiti tinggi. Mutiara Minda ini sesuai dibingkaikan dan diletakkan di meja kerja, meja belajar dan dinding rumah untuk motivasi diri. Kutipan dari penjualan Mutiara Minda akan disalurkan kepada Rumah Raudhatus Sakinah, Cheras.



Saat yang paling indah adalah bersama-sama adik-beradik usrah.
Bergembira kerana Allah.


Keluarga besar kami.
Allahuakbar!
Sesungguhnya, kami benar-benar ingin berjiran di Syurga nanti! Amin
Didoakan ukhwah kami ini mendapat keredhaan Illahi.
Amin.



Sunday, November 10, 2013

Usrah Ziarah (1) : POTLUCK!

Assalamualaikum pembaca SIC semua. Apa khabar? 
Bagaimana dengan cuti hujung minggu anda kali ini?  Kami harap anda di luar sana berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan berpeluang meluangkan masa dengan insan yang tersayang. 

Entry kali ini, kami ingin berkongsi aktiviti yang telah menguatkan lagi ukhuwah antara kami semua.  Alhamdulillah, semalam kami telah mengadakan usrah ziarah ke rumah salah seorang ahli SIC, iaitu Kak Awin. Kami telah berkonvoi beramai - ramai  dari pusat bandar Shah Alam dan selamat tiba ke destinasi yang dituju iaitu Subang Jaya lebih kurang jam 5.00 petang. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami, apabila mengadakan usrah ziarah, masing - masing akan membawa pelbagai juadah ke rumah yang  bakal diziarahi, iaitu ber'potluck'.
Perkongsian usrah bersama Naqibah kami, Kak Leena semalam telah berjaya membuatkan kami melahirkan apa yang terbuku di hati dan berkongsi mengenai penghijrahan yang kami ingin laksanakan bersempena tahun baru kali ini. Pendekatan dari Kak Leena juga telah membuatkan ada diantara kami yang menitiskan air mata dan membuatkan kami menjadi lebih kuat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan membentuk diri menjadi  lebih baik dan lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta. Kami berterima kasih kepada Allah kerana mempertemukan kami semua untuk ilmu, rasa kasih dan ukhuwah yang hebat ini. MasyaAllah, sesungguhnya apa yang berlaku ini sudah ketentuanNya. Hebat sungguh aturan Allah itu kan? Hasil perbincangan dalam usrah semalam, kami dapat simpulkan bahawa hijrah hati merupakan hijrah yang paling berat untuk dilaksanakan tetapi boleh menjadi permulaan baik untuk berhijrah. 

Pasti ada yang tertanya - tanya apakah hijrah hati yang boleh kita laksanakan. Hijrah hati  itu meluas skopnya. Untuk lebih memahami, mari kita fokuskan pada satu perkara iaitu perasaan cemburu.  Setiap dari kita pasti pernah mempunyai perasaan cemburu. Tipulah kiranya perasaan itu tidak ada pada diri kita manusia yang serba kekurangan ini. Cemburu itu kadang kala perlu sebagai contoh bagi pasangan suami isteri kerana ianya boleh menyemarakkan rasa kasih sayang dalam hubungan.  Selain itu, perasaan cemburu juga mampu memotivasikan seseorang dikala melihat sahabatnya berjaya di dalam pelajaran. Namun, perasaan ini mampu membuat seseorang bertindak di luar jangkaan. Tindakan yang dimulakan tanpa ditafsir dengan baik oleh hati. Hati umpama pemerintah yang menerima arahan dari perdana menterinya, iaitu akal fikiran kita. Jadi apabila timbulnya perasaan cemburu itu, hati perlu benar - benar mentafsir arahan yang diterima supaya tindakan yang bakal terlahir seiring dengan rasionalnya. Oleh itu, apabila perasaan cemburu itu muncul, kita hendaklah berfikir dahulu, menarik nafas dalam dan membuka mata serta fikiran supaya tidak ditenggelami dengan perasaan dan bisikan syaitan. 

Jadi, tunggu apa lagi para pembaca SIC, JOM KITA HIJRAH! Perkara yang baik janganlah ditangguh ya. Jika kita berfikir tunggulah dahulu,belum tiba masanya atau  masih ada banyak masa lagi untuk melakukan perubahan, kita telah melakukan satu kesilapan. Ini kerana Allah telah lama bersabar dengan kita dan tidak pernah jemu bersabar dengan kita, menunggu kita untuk melakukan hijrah ataupun perubahan dalam diri kita. Sesungguhnya setiap ciptaan Allah itu juga dari kesabaran. Diharap, menuju hari yang mendatang ini kita semua akan lebih serius dalam penghijrahan yang kita laksanakan dan mula berhenti memberi alasan untuk menyedapkan diri sendiri.  Sebelum melabuhkan tirai entry kali ini, seperti biasa jika ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan, boleh diajukan di ruangan komen. Kami di SIC amat berbesar hati untuk membantu anda semua :) 

"USRAH HINGGA SYURGA" 




Antara juadah yang terhidang. Spageti ialah menu utama dari tuan rumah 


Usrah kali ini lebih santai dan relaks


Umpama adik beradik, ukhuwah hingga syurga InshaALLAH 


Bergambar bersama Naqibah kami, Kak Leena dan tuan rumah, Kak Awin






Friday, November 8, 2013

Nak jadi Lebih Baik, JOM HIJRAH!!!!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullahibarakatuh :)


  Salam Maal Hijrah untuk semua followers blog SIC kami ucapkan. Belum terlambat lagi rasanya kan? Semoga dengan datangnya tahun baru ini, kita akan lebih mempersiapkan diri untuk menjadi yang lebih baik dari diri kita yang sedia ada sekarang. Perkongsian usrah kami minggu ini sangat menarik. 
APA ITU HIJRAH PADA KITA? 

Bila sebut tentang hijrah, pasti ramai yang membayangkan hijrah Rasulullah dan para 

sahabat serta umat Islam dari Mekah ke Madinah . Hijrah juga bukan sekadar kita menyanyikan lagu "Maal Hijrah" seperti yang berkumandang di stesen televisyen dan corong radio. Bukan itu sahaja, ramai juga yang merasakan perlu ke kita berhijrah? Adakah dengan hijrah keadaan akan jadi lebih baik?


Hijrah Rasulullah dari Mekah ke Madinah yang
telah berjaya melebarkan empayar kerajaan Islam



Ya, sudah semestinya! Hijrah akan bantu kita untuk bawa diri kita lebih baik dari kita yang sekarang. Masih ada yang ragu - ragu ya? Tak mengapa, masih ada banyak perkongsian dari kami. Hijrah itu tidak semestinya bermula dengan perkara yang besar dalam hidup kita kerana untuk melakukan perubahan diri, ia adalah perkara yang berterusan. Tidak pernah ada titik noktah. Yang penting kita tahu dan tetapkan pendirian kita untuk perubahan yang kita nak lakukan itu. Pendirian itu datang dari diri kita sendiri, oleh itu kita yang harus kuat dan fokus dengan tujuan sebenar kita. 

Sebagai contoh yang paling dekat dengan kita ialah solat. Mungkin sebelum ini, kita selalu menunaikan solat di hujung - hujung  waktu, jadi kita lakukan perubahan dengan mempercepatkan setengah jam dari kebiasaan. Keesokan harinya, 25 minit lebih awal, dan seterusnya sehinggalah kita dapat membiasakan diri untuk solat di awal waktu. Kita pasti akan terasa kepuasan dengan perubahan yang kita lakukan. Percayalah! Umpama bila kita bekerja di tengah panas, kemudian diberi minuman sejuk, sudah tentulah kita merasa lega dan puas. Begitu juga dengan setiap perubahan yang kita lakukan. Tidak rugi untuk berhijrah atau berubah kerana Allah sentiasa memberi jalan kemudahan kepada hambaNYA yang berusaha membaiki diri. Tingkatkan tanggungjawab juga adalah hijrah. Kita sebagai hamba dengan mudah dapat melakukan perubahan dengan membaiki dan memantapkan ibadah kita kepada Pencipta Yang Maha Agung. 

Jadi, jangan takut atau berfikir panjang lagi untuk malakukan penghijrahan. Segalanya bermula dengan diri kita sendiri. Kita sudah sedia baik, jadi berusahalah untuk jadi yang lebih baik dari yang sebelum ini ya! Dan tanamkan dalam diri kita untuk berprasangka baik dengan Allah. InshaALLAH kita akan mendapat petunjuk dan hidayahNYA untuk setiap apa yang kita lakukan di muka bumi ini. 

Jika ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan, boleh diajukan di ruangan komen. Kami di SIC amat bebesar hati untuk membantu anda semua :) 

"USRAH HINGGA JANNAH, INSHAALLAH"

Tuesday, November 5, 2013

PENGERAT UKHUWAH KAMI

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullahibarakatuh :)

Alhamdullillah, masih diberi kesempatan untuk membuat perkongsian. Hari ini kami nak berkongsi aktiviti mingguan yang selalu kami lakukan dalam kumpulan usrah kami. Perkara pertama sebagai permulaan usrah kami ialah kami akan buat sesi taa'ruf. Sesi taa'ruf ini dibuat pada setiap sesi usrah. Mengapa ya? Hah, sebab walaupun sudah banyak kali berjumpa, tapi sebenarnya banyak lagi tentang diri kami masing - masing yang belum dikongsikan atau ahli - ahli yang lain belum tahu. Taa'ruf ini sebenarnya mendekatkan lagi ukhuwah sesama kami disamping kami lagi mengenali diri satu sama lain. Kami juga terapkan nilai persaudaraan dalam usrah kami . Menurut firman ALLAH SWT : 


إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. 
Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.(Al Hujurat: 10)

Dalam ayat di atas, Allah telah menekankan antara sifat orang Mukmin itu ialah bersaudara, seolah-olah sifat orang mukmin itu adalah hanya bersaudara . Namun jangan pula ada yang salah faham ya sehingga mengagungkan dan menganggap bahawa sifat persaudaraan itu penting sekali sehingga perkara lain yang lebih penting diabaikan. 

Aktiviti wajib kami selain dari sesi taa'ruf ialah, tadarus Al - Quran. Setiap ahli akan bergilir - gilir membaca ayat Al Qran dan seterusnya kami akan membincangkan tafsir ayat - ayat yang dibaca tadi. Banyak perkongsian yang kami dapat dari Naqibah kami terutamanya melalui perbincangan ayat Al Quran ini. 


Bacaan ayat suci Al Quran menjadi aktiviti wajib dalam usrah kami


Setiap ahli akan membaca mengikut giliran masing - masing beserta tafsir ayat Al Quran yang dibaca 


Selain dari bertadarus, Naqibah kami turut membuat perkongsian hadis yang sedikit sebanyak membantu kami dalam pembaikan jasmani dan rohani. Isu semasa turut dibentangkan dan selalunya akan ada slot perbincangan terbuka antara kami  supaya kami semua tahu keadaan dunia semasa dan bukan menjadi muslimah yang seperti katak di bawah tempurung. Seiring dengan zaman sekarang yang semakin moden dan bergerak maju kehadapan, kami dipupuk untuk menjadi muslimah moden yang solehah, berinovasi, berilmu serta berkeyakinan tinggi untuk menempuh cabaran semasa walaupun masing - masing terikat dengan komitmen sebagai pelajar, wanita bekerjaya, isteri, ibu dan anak. 

Ini sahaja untuk perkongsian dari Sister in Circle (SIC) kali ini. InshaALLAH, untuk entry yang akan datang, kami akan memperkenalkan Naqibah kami dan ahli - ahli usrah yang lain. Diharap kalian semua mendapat manfaat dari entry kali ini. Kepada mereka yang berminat untuk memberi pendapat dan komen untuk blog ini, jangan segan silu ye! Kami amat berbesar hati dengan penglibatan anda dalam blog kami ini. 

"USRAH HINGGA JANNAH, INSHAALLAH"

Monday, November 4, 2013

OUR BONDING STARTS FROM HERE :)

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum warahmatullahibarakatuh :)

Manusia itu sejak azali lagi memang dilahirkan sebagai sebagai khalifah yang bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk memimpin diri sendiri malah masyarakat sekeliling termasuklah mereka yang kita sayang.  Alhamdulillah, Allah telah tunjukkan jalan yang terbaik untuk kami semua melalui pertemuan dalam majlis ilmu yang telah diaturkan bagi membaiki diri masing-masing. Blog ini diwujudkan bagi memberi manfaat kepada yang lain juga hasil dari perbincangan, perkongsian dan aktiviti yang kami terapkan dalam usrah. Kami selalunya akan berkumpul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, pada hari Sabtu setiap minggu. Usrah akan berjalan lebih kurang 2 jam dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 pm.

Inilah tempat kami berkumpul :) 



Usrah kami ini berasaskan kepada pengisian ilmu dan bukan sahaja dari sudut agama, malah kami semua turut membincangkan isu - isu semasa dalam dan luar negara. Perbincangan juga menjurus kepada pembaikan diri dan pembentukan jati diri untuk menjadi muslimah yang solehah. Selain itu, kami juga mengaitkan dengan kehidupan semasa dan  akan membantu mencari jalan penyelesaian permasalahan-permasalahan tersebut. 

Dari kumpulan usrah ini, kami telah mendapat pelbagai manfaat yang sangat berguna buat diri kami sendiri dan jugak untuk dikongsikan kepada yang lain termasuk ahli keluarga,sahabat handai dan saudara sesama Islam. Harap ukhuwah yang terjalin antara kami ini akan terus kekal hingga ke syurga dan mendapat  keredhaan Allah SWT. Sesungguhnya tidak ada sesuatu yang lebih berharga dan bernilai dalam kehidupan ini selain mendapat keredhaan Allah SWT.


"USRAH HINGGA JANNAH, INSHAALLAH"