Tuesday, July 15, 2014

Separuh Ramadhan telah pergi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,




Sayu terasa hati ini sayu apabila separuh daripada Ramadhan telah pergi. Setiap kali Kak Leena mengingatkan kami tentang ikrar yang dibuat, terasa sungguh sayu saja ayat-ayatnya.

Salam...adik-adik yang dicintai
Apa khabar ramadhan kita
Apa khabar puasa
Apa khabar solat
Apa khabar qiam
Apa khabar quran
Apa khabar zikir
Apa khabar doa
Apa khabar ukhuwah
Apa khabar nafsu
Apa khabar kasih dan sayang


Sesungguhnya naqibah kami ini orangnya lembut. Pandai bermadah dan berkata-kata. Selalunya hati kami akan cair dan air mata pasti bergenang menginsafi diri. Begitulah Kak Leena, tarbiyahnya secara lembut dan halus menyentuh hati-hati kami yang keras ini. Jazakallahu khairan Kak Leena. Mudah-mudahan Kak Leena dikurniakan syurga Allah.

Ramadhan 1435H menyaksikan kebangkitan para mujahidin di Palestin bangkit menentang kuffar. Semangat mereka juga sedikit sebanyak tempias kepada seluruh muslim hingga ke serata dunia. Saya pasti, anda juga berperasaan sama. Inginkan Islam bangkit gemilang di persada bumi ini. Teruja sekali.  Pertama sekali akan ku cuba bangkitkan Islam dalam diri dan keluargaku sendiri. Sedang hebat berusaha bermula dengan diri ini.

Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa ang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (QS. At Tahrim 66:6)

Ya Allah, Tuhan yang Maha Pengampun, Engkau suka mengampunkan, maka ampunilah kami ya Allah!



Mudah-mudahan kita tetap istiqamah dalam memburu pahala-pahala ibadah dan bertemu malam Lailatul Qadar.


Sunday, July 6, 2014

Tadarus Keluarga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Sudah masuk Ramadhan 1435H yang ke lapan hari ini. Sejak membuat ikrar ramadhan semasa usrah yang lepas, setiap hari mengingatkan diri tentang ikrar yang telah dibuat. Ikrar ramadhan saya telah tempek di sliding door bilik tidur. Sememangnya akan selalu ditatap. Sehingga hari ini, ada yang istiqamah ada yang tidak. Kesibukan kerja di pejabat menghadkan perlaksanaan sesetengah ikrar. Tetapi ada yg berjaya setiap hari dilaksanakan. Di antaranya adalah tadarus keluarga.

Selama hidup berkeluarga aktiviti ini adalah pertama kalinya dibuat. Saya ingin cuba memanjangkan aktiviti tadarus yang selalunya bersama ahli usrah di rumah sendiri pula. Alhamdulillah, mendapat sambutan daripada ahli keluarga termasuk anak yang 5 tahun. Tadarus ini kami buat seusai solat maghrib pada hari bekerja dan penambahan satu lagi sesi seusai solat subuh pada hari minggu. Kami menjalankannya secara santai. Giliran ditentukan dengan proses lat-ta-lilat-laili-lai-tam-plom dan kemudian osom. Penentuan giliran ini memang menjadikan anak-anak teruja, mana taknya mereka selalu lakukan semasa bermain dengan kawan-kawan. Kita perlu gembira membaca Al-Quran. Perasaan inilah yang ingin diterapkan kepada anak-anak ini. Mudah-mudahan kami berjaya menjadikan anak-anak ini insan yang cintakan Al-Quran. Amin.




Kami telah memulakan sesi tadarus ini seminggu sebelum Ramadhan 1435H untuk mendapat rentak dan feel bertadarus. Setelah membaca ayat-ayat Al-Quran, setiap orang perlu membaca terjemahan pula. Kami bertiga, makanya setiap orang akan membaca satu halaman beserta terjemahan. Kami akan menyemak bacaan sesama kami. Sambil membaca terjemahan, sambil kami mengulang suarakan ayat-ayat daripada Allah kepada anak-anak terumatanya tentang solat, zakat, puasa, bersedekah dan kisah-kisah umat terdahulu yang diambil pengajaran daripadanya. Perasaan bertadarus bersama keluarga sangat menenangkan dan menggembirakan. Mudah-mudahan kami dapat istiqamah bertadarus bersama-sama biarpun selepas Ramadhan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah menemukan saya dengan kumpulan usrah ini. Banyak manfaat yang saya peroleh daripada aktiviti usrah. May Allah grant us deep understanding about Islam and guide us to the righteous path. Amin.