Sunday, July 6, 2014

Tadarus Keluarga

Assalamualaikum dan selamat sejahtera rakan-rakan yang dikasihi Allah,

Sudah masuk Ramadhan 1435H yang ke lapan hari ini. Sejak membuat ikrar ramadhan semasa usrah yang lepas, setiap hari mengingatkan diri tentang ikrar yang telah dibuat. Ikrar ramadhan saya telah tempek di sliding door bilik tidur. Sememangnya akan selalu ditatap. Sehingga hari ini, ada yang istiqamah ada yang tidak. Kesibukan kerja di pejabat menghadkan perlaksanaan sesetengah ikrar. Tetapi ada yg berjaya setiap hari dilaksanakan. Di antaranya adalah tadarus keluarga.

Selama hidup berkeluarga aktiviti ini adalah pertama kalinya dibuat. Saya ingin cuba memanjangkan aktiviti tadarus yang selalunya bersama ahli usrah di rumah sendiri pula. Alhamdulillah, mendapat sambutan daripada ahli keluarga termasuk anak yang 5 tahun. Tadarus ini kami buat seusai solat maghrib pada hari bekerja dan penambahan satu lagi sesi seusai solat subuh pada hari minggu. Kami menjalankannya secara santai. Giliran ditentukan dengan proses lat-ta-lilat-laili-lai-tam-plom dan kemudian osom. Penentuan giliran ini memang menjadikan anak-anak teruja, mana taknya mereka selalu lakukan semasa bermain dengan kawan-kawan. Kita perlu gembira membaca Al-Quran. Perasaan inilah yang ingin diterapkan kepada anak-anak ini. Mudah-mudahan kami berjaya menjadikan anak-anak ini insan yang cintakan Al-Quran. Amin.




Kami telah memulakan sesi tadarus ini seminggu sebelum Ramadhan 1435H untuk mendapat rentak dan feel bertadarus. Setelah membaca ayat-ayat Al-Quran, setiap orang perlu membaca terjemahan pula. Kami bertiga, makanya setiap orang akan membaca satu halaman beserta terjemahan. Kami akan menyemak bacaan sesama kami. Sambil membaca terjemahan, sambil kami mengulang suarakan ayat-ayat daripada Allah kepada anak-anak terumatanya tentang solat, zakat, puasa, bersedekah dan kisah-kisah umat terdahulu yang diambil pengajaran daripadanya. Perasaan bertadarus bersama keluarga sangat menenangkan dan menggembirakan. Mudah-mudahan kami dapat istiqamah bertadarus bersama-sama biarpun selepas Ramadhan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah menemukan saya dengan kumpulan usrah ini. Banyak manfaat yang saya peroleh daripada aktiviti usrah. May Allah grant us deep understanding about Islam and guide us to the righteous path. Amin.


No comments:

Post a Comment