Friday, November 15, 2013

Mumtaz di akhirat

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,


Keputusan peperiksaan UPSR telah diumumkan semalam. Tahniah kepada semua calon UPSR yang telah mengambil keputusan mereka dan redha dengan ketentuanNya. Tahniah kepada diri sendiri kerana selama ini berusaha datang ke sekolah untuk belajar kerana Allah. Tahniah kepada ibubapa yang tenang dan redha dengan keputusan peperiksaan anak-anak. Tahniah kepada cikgu yang berpenat lelah dan sabar mencurah ilmu kepada anak-anak murid tanpa jemu. Tahniah kepada semua yang terlibat! Marilah kita sama-sama bersangka baik dengan Allah. Jangan disalahkan anak-anak kerana tidak mendapat keputusan yang diharapkan. Jangan disalahkan guru yang tanpa jemu mencurah ilmu kepada anak-anak kita tatkala kita pergi mencari rezeki. Marilah kita betulkan yang biasa dan biasakan yang betul. Marilah kita jalan terus!

Tertarik hati saya ingin berkongsi satu cerita UPSR yang meruntun jiwa saya sebagai seorang ibu. Perkongsian dari ahli usrah tentang anak saudaranya. Anak saudaranya adalah seorang pelajar yang cemerlang di sekolah dan menjadi harapan guru untuk dapat 5A. Dengan takdir dan ketentuan Allah, dia tidak mendapat 5A dalam UPSR. Di dalam PSRA juga dia tidak mendapat mumtaz. Dia langsung tidak menangis dengan keputusan peperiksaannya. Guru-guru pula yang datang kepada ibu bapanya dalam tangisan bersedih kerana anak didiknya tidak mendapat seperti yang diharapkan. Tetapi anak saudaranya yang membahasakan dirinya kakak, tidak putus-putus berkata :

"Tidak mengapa kakak tidak mendapat mumtaz di dunia ini. Kakak minta dengan Allah supaya Kakak dapat mumtaz di akhirat"

Masya Allah! Allahuakbar! Saya percaya tiada ibu yang tidak menangis dengan kata-katanya ini. Walaupun anak ini masih 12 tahun tetapi jiwanya sungguh BESAR untuk mendapat syurga Allah. Seorang anak 12 tahun hari ini, telah mengajar saya sesuatu yang sungguh bermakna. Allah adalah segala-galanya baginya. Tidak sedikit pun dia bersedih dengan hal dunia. Beruntung sungguh ibu bapa kepada anak ini. Sesungguhnya Kakak dan ibubapanya telah cemerlang. Tahniah! Kami di Bulatan Gembira mendoakan kakak akan berjaya suatu hari nanti dengan mendapat double mumtaz, mumtaz dunia dan mumtaz akhirat! Amin.

Sesungguhnya kejayaan yang sebenar adalah kejayaan mendapat syurga Allah. Kegagalan yang sebenar adalah masuk nerakaNya. Dunia ini penuh dengan kesenangan yang palsu.

Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan gurau senda, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba-lumba dalam kekayaan dan anak keturunan, seperti hujan dan tanaman-tanamannya mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Di akhirat kelak ada azab yang keras bagi pendusta dan ampunan Allah bagi mereka yang beriman. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.
(Surah Al Hadid : 20)


Dimanakah kita berakhir nanti!


2 comments:

  1. Assalamualaikum Sisters
    JOM Mumtaz di Akhirat (Syurga destinasi kita) dan juga di dunia... JOM..

    ReplyDelete
  2. Mai menangis baca entry k.awin ni. Hope to see kakak soon.

    ReplyDelete