Sunday, November 10, 2013

Usrah Ziarah (1) : POTLUCK!

Assalamualaikum pembaca SIC semua. Apa khabar? 
Bagaimana dengan cuti hujung minggu anda kali ini?  Kami harap anda di luar sana berada dalam keadaan yang sihat walafiat dan berpeluang meluangkan masa dengan insan yang tersayang. 

Entry kali ini, kami ingin berkongsi aktiviti yang telah menguatkan lagi ukhuwah antara kami semua.  Alhamdulillah, semalam kami telah mengadakan usrah ziarah ke rumah salah seorang ahli SIC, iaitu Kak Awin. Kami telah berkonvoi beramai - ramai  dari pusat bandar Shah Alam dan selamat tiba ke destinasi yang dituju iaitu Subang Jaya lebih kurang jam 5.00 petang. Sudah menjadi kebiasaan bagi kami, apabila mengadakan usrah ziarah, masing - masing akan membawa pelbagai juadah ke rumah yang  bakal diziarahi, iaitu ber'potluck'.
Perkongsian usrah bersama Naqibah kami, Kak Leena semalam telah berjaya membuatkan kami melahirkan apa yang terbuku di hati dan berkongsi mengenai penghijrahan yang kami ingin laksanakan bersempena tahun baru kali ini. Pendekatan dari Kak Leena juga telah membuatkan ada diantara kami yang menitiskan air mata dan membuatkan kami menjadi lebih kuat untuk melakukan perubahan dalam perjalanan membentuk diri menjadi  lebih baik dan lebih dekat dengan Yang Maha Pencipta. Kami berterima kasih kepada Allah kerana mempertemukan kami semua untuk ilmu, rasa kasih dan ukhuwah yang hebat ini. MasyaAllah, sesungguhnya apa yang berlaku ini sudah ketentuanNya. Hebat sungguh aturan Allah itu kan? Hasil perbincangan dalam usrah semalam, kami dapat simpulkan bahawa hijrah hati merupakan hijrah yang paling berat untuk dilaksanakan tetapi boleh menjadi permulaan baik untuk berhijrah. 

Pasti ada yang tertanya - tanya apakah hijrah hati yang boleh kita laksanakan. Hijrah hati  itu meluas skopnya. Untuk lebih memahami, mari kita fokuskan pada satu perkara iaitu perasaan cemburu.  Setiap dari kita pasti pernah mempunyai perasaan cemburu. Tipulah kiranya perasaan itu tidak ada pada diri kita manusia yang serba kekurangan ini. Cemburu itu kadang kala perlu sebagai contoh bagi pasangan suami isteri kerana ianya boleh menyemarakkan rasa kasih sayang dalam hubungan.  Selain itu, perasaan cemburu juga mampu memotivasikan seseorang dikala melihat sahabatnya berjaya di dalam pelajaran. Namun, perasaan ini mampu membuat seseorang bertindak di luar jangkaan. Tindakan yang dimulakan tanpa ditafsir dengan baik oleh hati. Hati umpama pemerintah yang menerima arahan dari perdana menterinya, iaitu akal fikiran kita. Jadi apabila timbulnya perasaan cemburu itu, hati perlu benar - benar mentafsir arahan yang diterima supaya tindakan yang bakal terlahir seiring dengan rasionalnya. Oleh itu, apabila perasaan cemburu itu muncul, kita hendaklah berfikir dahulu, menarik nafas dalam dan membuka mata serta fikiran supaya tidak ditenggelami dengan perasaan dan bisikan syaitan. 

Jadi, tunggu apa lagi para pembaca SIC, JOM KITA HIJRAH! Perkara yang baik janganlah ditangguh ya. Jika kita berfikir tunggulah dahulu,belum tiba masanya atau  masih ada banyak masa lagi untuk melakukan perubahan, kita telah melakukan satu kesilapan. Ini kerana Allah telah lama bersabar dengan kita dan tidak pernah jemu bersabar dengan kita, menunggu kita untuk melakukan hijrah ataupun perubahan dalam diri kita. Sesungguhnya setiap ciptaan Allah itu juga dari kesabaran. Diharap, menuju hari yang mendatang ini kita semua akan lebih serius dalam penghijrahan yang kita laksanakan dan mula berhenti memberi alasan untuk menyedapkan diri sendiri.  Sebelum melabuhkan tirai entry kali ini, seperti biasa jika ada sebarang pertanyaan atau kemusykilan, boleh diajukan di ruangan komen. Kami di SIC amat berbesar hati untuk membantu anda semua :) 

"USRAH HINGGA SYURGA" 




Antara juadah yang terhidang. Spageti ialah menu utama dari tuan rumah 


Usrah kali ini lebih santai dan relaks


Umpama adik beradik, ukhuwah hingga syurga InshaALLAH 


Bergambar bersama Naqibah kami, Kak Leena dan tuan rumah, Kak Awin






No comments:

Post a Comment