Wednesday, November 13, 2013

Tahajjud Call Tree

Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pengunjung yang dikasihi Allah,



Semasa Ramadhan 1434H yang lepas, Naqibah kami Kak Leena, telah mengadakan satu aktiviti usrah yang memerlukan kami bangun pada seawal pagi hari iaitu sepertiga malam. Aktiviti ini kami panggil Tahajjud Call Tree. Aktiviti secara berjemaah ini tidak memerlukan kami untuk bersama-sama di dalam satu tempat. Kami akan membuat panggilan telefon berdasarkan turutan yang telah dipersetujui. Kak Leena akan buat panggilan terlebih dahulu kepada Athirah Syafiza. Athirah kemudiannya akan menelefon Hajar. Hajar pula akan membuat panggilan telefon kepada Aida dan seterusnya. Sehinggalah orang yang terakhir iaitu Nesrin akan membuat panggilan kembali kepada Kak Leena. Jadi Kak Leena tahu bahawa semua orang yang terlibat telah bangun untuk bertahajjud. Memang seronok aktiviti Tahajjud Call Tree ini. Walau pun jarak jauh memisahkan kami, tetapi kami rasakan kami bersolat sunat tahajjud bersama-sama. Masya Allah, tak dapat digambarkan perasaan itu. Bermula pada saat itu, setiap hari kami berazam untuk berusaha untuk istiqamah dalam mendirikan solat sunat tahajjud.

Seringkali pada setiap perjumpaan usrah, Kak Leena akan menekankan kepentingan mendirikan Solat Tahajjud ini. Sentiasa terngiang-ngiang kata-kata Kak Leena, bangunlah adik-adik bersolat sunat tahajjud setiap hari. Bangunlah! Sesungguhnya solat sunat tahajjud itu sangat indah. Solat sunat tahajjud itu akan menjadikan kita ketagih untuk mendirikannya berulang kali, setiap hari. Bayangkan hanya diri kita dan Allah sahaja ketika itu, tiada orang lain, hanya Allah dan kita. Mohonlah ampun, mengadulah tentang apa sahaja yang terbuku di hati kita, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

 Rasulullah SAW bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang solihin sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.”  (Riwayat Tirmizi dan Ahmad r.a.)


Jom kita mulakan solat tahajjud sekarang. Jangan berlengah! Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!

Nota : Kami akan kongsikan tentang tip-tip dan cara-cara mendirikan solat tahajjud dan doa-doa yang berkaitan dalam entri siri tahajjud yang seterusnya.



1 comment:

  1. Assalamualaikum Sisters... Saya tak sempat join Tahajjud Call Tree tu.. JOM kita buat Tahajjud Call Tree tu lagi.. buat dlm bulan Muharam ni... JOM...

    ReplyDelete